SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN

SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN
Satu Bahasa Satu Bangsa Satu Negara

Tuesday, November 16, 2010

Allah (swt) -- Muhammad (saw) -- Makhluk-MakhlukNya: Pesanan Terakhir.

Al-Qur'an (2:278-281)

(2:278) Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.

Seruan ini hanya didengari oleh orang-orang yang beriman sahaja. Hanya orang yang beriman ada kekuatan menyahut perintah ini.
Yang tersirat disini ialah ... Allah menjanjikan "jika benar kamu orang-orang yang beriman Kami akan pinjamkan kamu kekuatan dari sisi Kami untuk menjunjung perintah Kami".
Maknanya, jika aku terlibat juga dengan riba ... maka aku tidak benar-benar beriman namanya .... atau imanku tidak benar ... imanku yang tidak benar tidak memberi kekuatan padaku untuk menjunjung perintah dan laranganNya.


(2:279) Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

...."Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya .." iaitu Allah dan Rasulnya mengisytiharkan perang terhadap amalan dan pengamal riba.
Jika Allah dan RasulNya sedang memerangi pengamal dan amalan riba, apa yang menghalang aku dari turut sama? Tidakkah aku mahu bersama dan beserta Allah dan RasulNya?
Jika Allah dan RasulNya sedang memerangi pengamal dan amalan riba, dan aku tidur leka di rumah, something must be wrong with me. Kalau tidak kuat memerangi pengamal dan amalan riba pun, tidakkah sekurang-kurang aku boleh memerangi aku sendiri dari turut terlibat dengan riba?


(2:280) Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

Riba itu zalim. Pengamal riba menzalimi sesama makhluk. Riba dan pengamalnya mengamalkan penindasan. Maka Allah memberi option kepada akal yang asal, akal yang datang dari sisiNya, memilih cara untuk membela yang tertindas dan menghapuskan penindasan.


(2:281)Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

Doa:
Allah; Engkau benar. Muhammad saw itu benar. JanjiMu benar. PetunjukMu dan bimbingan Muhammad saw itu benar. Akal dari sisiMu benar. BalasanMu benar. Aku berlindung dengan kasih sayang Mu dari murka Mu dan dengan keampunan Mu dari siksa Mu.