SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN

SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN
Satu Bahasa Satu Bangsa Satu Negara

Friday, December 17, 2010

Tulisan Atas Pasir.

Tulisan ditinggalkan di atas pasir
Ilmu akhirat mahupun dunia
Datang ombak terpadamlah ia.

Walaupun ia mengaji di sekolah atap
Duduk di tunggul, menulis di papan batu, melakar di atas lantai tanah
Tetapi keringat dipahatkan ke hati, di dalam dadanya,
Mendarah mendaging teramal ke seluruh jasad
Tiada satupun tertinggal di papan batu atau di atas pasir
Ilmunya bermaanfaat melindinginya semasa hidup sehingga sesudah hayat
Alam makhluk mewarisi kebaikan
Hatta beribu-ribu tahun setelah peninggalannya.
Ia dikatakan si alim yang berilmu.

Aku memanjat setinggi menara gading
Duduk berhawa dingin, menulis kedalam komputer
Tetapi hasil kerja ku dan ilmu yang ku dapat
Ku tinggalkan dalam laptop ku
Dalam kutub-kutub khanah
Dalam lembaran-lembaran kertas
Tidak mendarah ke daging taramal ke jasad
--- Hai anak -
Walau tersanjung si professor-alimun langit pun
Hakikatnya kau sekedar si alim
Yang masih jahil
Kerana tulisan mu
Kau tinggalkan di atas pasir
Datang ombak, hilanglah ia - kata ayahku.

Hampir saja aku bingkas menjerkah
Hey si tua kutuk apa kau tahu
Kau hanya bersekolah atap.

. . . . .

Hampir saja
Kutinggalkan peluhku dalam buku dan kitab
Hampir hampir
Tidak ku tuliskan dalam qalb dan jasad.

Ayah ... harap jangan kecewa dengan ku ayah
Beribu tahun sudah kau tinggalkan aku.
Doakan aku.