Apa hal dengan DAP Kedah? Sekarang mereka dakwa dan bantah PAS Kedah kononnya mengarahkan perobohan pusat penyembelihan babi Alor Star. Dan mereka keluar PR kerananya? Wah begitu sekali 'romantisnya' dua kekasih buah hati ini.
Tetapi ada pula cerita mengatakan yang DAP telah minta tangguh sebulan perobohannya pusat itu sementara mereka mencari tapak lain. Kononnya PAS layan sahaja kehendak mereka. Rupa-rupanya DAP berbohong. Tidak cari tapak lain pun.
Maka berkatalah PAS Kedah, dahulu PAS hendak bincang perpaduan dengan UMNO, mereka kecoh. Sekarang sesudah mereka sendiri tidak tunaikan janji tempoh sebulan itu, mereka kecoh lagi. Mereka ini seolah-olah hendak menyerahkan Kedah kepada UMNO melalui tindakannya keluar Pakatan, kata PAS Kedah.
Agaknya kemanisan perkahwinan tangkap muat DAP dengan bidan terjun PAS ini sudah habis. Tapi tidak pernahpun dengar mereka keluar berbulan madu. Cerita DAP melalui Nizar melacorkan pasangannya PAS di Perak ... itu hingga sekarang tidak reda lagi.
Apa kata PAS dan DAP pusat. Dan laratkah PKR yang menjodohkan mereka menjadi orang tengah dalam perebutan PAS-DAP ini sedangkan ketuanya sedang sibuk bersembahyang hajat, mandi dan berdoa tolak bala ... tak mahu balik ke bilik rehatnya di Sungai Buluh. Hindraf sudah melancarkan mentera dan ritual buang ancak serta pecah kelapa di persimpangan ka Sg. Buluh.
Begitulah gelagat PR bersengketa sesama sendiri sejak mereka mendirikan rumah tangga ... lepas satu, satu lagi; tak pernah sedikit pun menggunakan tenaga mereka untuk rakyat; sedangkan lawan mereka BN lepas satu, satu lagi kedengaran memulakan inisiatif itu dan ini, liberal itu dan liberal ini; termasuk cadangan membina jambatan ke tiga. Sampai mati pun Singapura tidak akan mahu apa bentuk jambatan pun kerana itu mereka tafsir sebagai risiko keselamatan sekiranya apa-apa berlaku di kedua-dua tebing Selat Teberau nanti; bukannya sebagai penghubung persahabatan.
Oleh kerana beginilah benih kecurigaan yang diwarisi oleh DAP dari PAP; mampukah PAS dan DAP bekerjasama membangun dan memakmurkan negara? Mampukan PKR menjadi gam pematri mereka bertiga dalam PR? Mampukah rakyat Malaysia menunggu mereka sedangkan sekarang sahaja mereka PR hanya menjadikan rakyat Malaysia sebagai bahan uji kaji pentadbiran mereka melalui pungutan 'suara kambing'?
Dalam pada menunggu hasil eksrimen mereka, rakyat kaum majority Malaysia berpecah dan terasing antara satu dari yang lainnya; sedangkan kaum lain yang bertentangan fahaman politik pun bersatu hanya kerana mahukan pengganas Chin Peng diwarga negarakan.
Barangkali bangsa Melayu ini baharu mahu bersatu apabila langit sudah tinggal sejengkal di atas kepala.