SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN

SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN
Satu Bahasa Satu Bangsa Satu Negara

Saturday, February 27, 2010

Tertidur

Sesudah disembahyangkan, jenazah dimasukkan kedalam van untuk dibawa keperkuburan. Saya tutup pintu van tersebut. Ternampak tulisan halus, "Sumbangan ....... cawangan ...."

Kenapa lambang parti Melayu ini dikikis? ... kata hati kecil ....

Selepas Maghrib, imam surau membuat pengumuman yang sekelian jemaah dijemput bertahlil di rumah al-marhum selepas 'Isya nanti. Majlis diteruskan dengan mejemput penceramah jemputan menyampaikan kulliah mingguannya.

Penceramah membaca sepotong ayat Qur-an. Setelah beberapa minit menghuraikan terjemahannya, tuan penceramah menyambung " ..... Islam lain ... Melayu lain. Rukun Islam ada lima. Ada berapa rukun Umno? ... Tanya Mahathir. Saya tak pandai jawab ...." Kedenganran bergulung-gulung ketawa tertahan-tahan dalam surau.

Apa hikmah yang hendak disampaikan oleh tuan penceramah ini? Bagaimana dia hendak mensucikan rohani pendengar? ...... ..... saya melayan fikiran sendiri ... tidak lagi mengikuti ceramahnya. .....

Saya pernah mendengar ceramah lain ... dahulu semasa bujang .... di surau yang sama .... oleh seorang Tuan Guru keturunan pondok Tok Kenali r.a. Beliau juga membacakan sepotong ayat al-Qur'an, dari Surat Al-Jumu'ah (62:2) yang terjemahannya berbunyi ..."Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata," .....

Dalam menghuraikan terjemahan dan sedikit tafsiran mengenai ayat tersebut, Tuan Guru berkata bahawaa tugas Nabi Muhammad s.a.w. dan sekelian petugas baginda (seperti imam, guru, uztaz, mursyid) hingga ke akhir zaman, ada 4; iaitu:-

1) .... "membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka", ... iaitu menyampaikan kepada mereka perkhabaran dari Allah,

2) .... "mensucikan mereka" , ... iaitu sesuatu yang jauh berbeza dari setakat "menyampaikan kepada mereka perkhabaran dari Allah". Tanpa kerja pensucian tersebut, mereka tidak akan mampu mencapai kepada kamal-ul-yaqin terhadap Allah dan perkhabaranNya.

3) .... "mengajarkan kepada mereka Kitab", ..... iaitu bukan setakat memaklumkan atau mensyi'arkan kepada mereka akan mesej Allah sahaja tetapi merangkumi mengketarakan maksud-maksud halus lagi tersirat kandungan kesucian Ayat-Ayat Suci Allah serta melatih mereka cara-cara sebenar penghayatan Perintah Dan Tegah Al-Qur'an. 'Kerja mengketarakan' sebegini hanya berkesan bila proses 'pensucian kerohanian' dapat dilalui mengikut kadar kesempurnaannya.

4) .... "mengajarkan kepada mereka Hikmah", .... iaitu akhirnya sang guru membimbing mereka kepada situasi berhadapan (musyahadah) serta menyaksikan atau naik saksi sebenar-benar saksi akan Hikmah yang mengikuti dari langkah-langkah di atas.

Inilah yang dikatakan sebenar-benar membawa kepada "kejayaan yang nyata" keluar dari " kesesatan yang nyata." kata Tuan Guru itu.

"Pakcik .... Pakcik .... Masuk saf ..... Dah 'Isya." terasa tangan menyentuh bahu. Saya sambut Tok Guru itu lalu hendak saya cium tangannya.

"Ishhh. Jangan begitu Pakcik."

Masyaallah ..... dah 'Isya rupanya .... saya termimpikah tadi? Sungguh majlis Ilmu itu syurga ... sedap untuk tertidur .....

Allah! Rugi saya tidak dapat mengikuti ceramah ustad pas itu tadi. Apa hikmah yang digerudikan kedalam telinga kita itu tadi agaknya?

Tak apa. Nanti lepas majlis tahlil, boleh tanya sesiapa. Nak tau juga siapa budak nakal yang mengikis lambang keris dari van mayat.