SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN

SSUS - PERJUANGAN YANG BERTERUSAN
Satu Bahasa Satu Bangsa Satu Negara

Tuesday, July 27, 2010

Kulit Dan Isi Ramadhan

Kulit Ramadhan ialah lapar dan dahaga. Sabda Rasulullah s.a.w.: mafhumnya, "Ramai yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga. Ramai yang menghidupkan malam Ramadhan dengan ritual-ritual namun hanya mendapat penat dan mengantuk berjaga."

Isi Ramadhan pula ialah rahmat, balasan, muhibbah, ganjaran atau pemberian, jaminan pahala, kasih sayang, tarikan mendekat, hampir, nur dan 'nawal' iaitu penerimaan rahmat dan lain-lain seumpamanya.

Segala isi Ramadhannya boleh binasa jika umpamanya:- berbuka puasa dengan yang najis atau haram; puasanya diaktifkan dengan keingkaran dan kemunkaran, dengan penyalahgunaan lidah, dengan umpatan dan fitnah, dengan pembohongan dan kepalsuan.

Hormat kepada sesuatu PERINTAH dapat diberikan setakat setinggi mana hormat seseorang (hamba) kepada SI PEMBERI PERINTAH. Seseorang yang sudah "OUT OF TOUCH" dengan Allah s.w.t., dengan para PesuruhNya, atau hamba-hambaNya para solihin, (solawatullah wa salamun 'alaihim ajma'iin), sangat keberatan "TO BE IN TOUCH" dengan bulan Ramadhan. Jika Allah s.w.t. dihormati, dan "berhubung mesera serta rapat" dengan Ramadhan, bulan tersebut akan bangun memohonkan syufa'at untuknya di hari Berbangkit esok. Ia akan merayu kepadaNya supaya si penghormat itu diberi sebahagian daripada kurniaNya, kemurahanNya, rahmatNya, kemuliaanNya, kehalusan kasih sayangNya dan perlindunganNya.

Jika haq Ramdhan disempurnakan penuh hormat sesuai dengan adab-adab dan tuntutannya, Allah s.w.t. akan melaksanakan haqNya dengan menyempurnakan isi-isi dari Syahru Ramadhan itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ketibaannya sebagai sesuatu yang mengukuhkan hati dan meringankannya. Juga sebagai suatu pemberian dan penerimaan rahmat kepada zahir dan batin. Di akhirat nanti kesemua pemberian Allah dari Ramadhan ini akan tampil kepada pemunyanya sebgai sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, yang tidak pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh hati.

Semua yang menerima kurnia Allah s.w.t. berupa puasa dan kekuatan menjaga kesempurnaan puasa itu amat mensyukuri nikmat ini. Beruntunglah mereka yang berpuasa dengan membawa mata, telinga, kaki, tangan dan anggota-anggota lain berpuasa sama. Beruntunglah dia kerana puasa yang demikian mensucikan dirinya. Penghormatannya kepada perintah-perintah lain meningkat kerana dirinya merasa ditarik hampir dengan Si Pemerintah puasa zahir batin itu. Kerana kehampirannya denganNya, semua bentuk penjana dosa seperti berbohong, mengumpat, memfitnah ditinggalkannya di ufuk lama, lalu masuk dia ke ufuk baru di mana dirinya sunyi dari berbagai bentuk kesia-siaan seperti berbanyak sembang kosong, lawak dan jenaka.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa puasa adalah baju perisai (junna) kerana ia mempertahankan / menutupi sesiapa yang memakainya. Maka itulah, perisai dipanggil 'mijanna', dan orang yang hilang pertimbangan akal dipanggil 'majnun' kerana akalnya tertutup / terbungkus. Puasa adalah suatu pelindung kepada sesiapa yang berpuasa mukhlisina lahuddin, taqwa / takut akan Allah dan ikhlas kerana Allah,kerana yang demikian itu menghalang dia dari terkena ranjau-ranjau di tepi jalan dunia dan akhirat.

Ya Robbi, Engkau uji kami dengan makan dan minum dan dengan meninggalkannya. Maha suci Engkau dari berkehendak kepada makan, minum atau tidur. Apabila Engkau luluskan / terima dari kami ujian ini, lumpuhkanlah sifat kerakusan, kebuasan, kebinatangan dan keiblisan diri kami dan tingkatkanlah ketaqwaan kami pada melalui kehidupan takat sejam ini. Bantulah kami menghabiskannya dengan berbuat ta'at.