Wajib syurga dengan iman.
Masuk syurga dengan rahmat.
Bahagian syurga dengan amal.
Wajib syurga dengan iman. Allah s.w.t. dengan sifat Maha 'AdilNya menghargai iman walaupun seberat miang dibelah tujuh, dan membalasNya dengan syurga. Sebaliknya wajiblah neraka dengan kufur, walaupun sebanyak miang dibelah tujuh, neraka imbalannya. Rasulullah s.a.w. bertaubat tujuh puluh kali sehari semalam. Berapa kali pula kita sepatutnya?
Masuk syurga dengan rahmat. Allah s.w.t. memberikannya kepada atau menahannya pemberian itu daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Allah s.w.t. mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya atau menyiksa sesiapa yang dikehendakiNya. Allah s.w.t. memasukkan hambanya ke syurga dengan rahmatNya bukan kerana iman atau amal.
Bahagian syurga dengan amal. Amal hamba tidak laku kalau hendak di"barter-trade" dengan syurga Allah s.w.t. Amal diperanankan bila "lesen" sudah ada: iman. Kebenaran atau keredhoan sudah diberi: rahmat. Sebesar mana amal kita jika hendak dibandingkan dengan rahmat Allah s.w.t.?
"Ya Allah, sesungguhnya keampunan Mu ... Lebih luas dari kedosaan ku .... Dan rahmat Mu .... Lebih ku harapkan dari amal ku.
Aku yakin percaya, jika Engkau membalas dosa besarku dengan neraka, tetapi, asalkan aku beriman kepadaMu, Engkau akan selamatkan aku juga akhirnya sesudah Engkau hukum aku setimpal dengan dosaku dan Engkau akan selamatkan aku dari siksa itu dengan rahmatMu jua ya Allah. Aku berlindung dengan Engkau dari dibakar mukaku atau anggota yang dengannya aku sujud (pun dengan rahmatMu juga) kepadaMu ya Allah s.w.t. sebagaimana Engkau tegah api neraka dari berbuat demikian."
Pengharapan seseorang (yang menjaga imannya) itu kepada rahmat Allah s.w.t. jangan dibiarkan padam atau tidak dibiarkan luntur walau bagaimana azabnya atau berapa lama dia dibakar di neraka, sehingga dia diselamatkan oleh Allah. Kemudian dia akan dimasukkan ke syurga dan dia akan dianugerahi tingkat maqam dan nikmat syurga yang setimpal dengan keta'atan dan amal ketika didunia dahulu.
Kaum I'tiqad Qadaiyya dan Khawarij mempunyai i'tiqad yang bertentangan dengan i'tiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah ini. Mereka berpegangan bahawa amal terbatal kerana dosa besar.